Wednesday, October 9, 2013

MURID KESAYANGAN NYONYA

Selepas kelas roti dengan Chef Liza pada 11hb Mac 2005 tu saya memang bersemangat sungguh-sungguh; makan roti, tidur roti, cakap roti segalanya roti. Saya memang bertekad nak buat dan jual roti, tetapi saya merasakan saya perlu terus cari ilmu lagi. Sambil kumpul duit selama lebih sebulan untuk beli mesin mixer, sambil buat koleksi buku resepi roti. Pada suatu hari saya terjumpa buku pastry tulisan Chef Wendy Khor. Saya belek-belek buku tu ada pula nombor telefon kedainya. Saya telefon tanya alamat dan cari kedainya di Klang. Chef Wendy Khor ada sebuah kedai bahan bakeri dan memang dia juga ada mengajar buat roti, kek dan pastri. Kelas pertama saya dengan Chef Wendy ialah pada 22hb Mac 2005. Kelasnya 4 jam sahaja tetapi padat dengan kaedah dan tips penting mengenai roti. Pelajarnya kebanyakan nyonya dan amoi-amoi Klang. Ada juga seorang dua orang makcik datang belajar. Saya jugalah 'lelaki Melayu terakhir' dalam kelas... Seminggu kemudian saya ambil lagi kelas dengan Chef Wendy. Setakat ni dah 7 kelas roti saya belajar dengannya. Masa tu saya masih menyewa rumah di Pangsapuri Sri Tanjung USJ 16, dan bekerja di SS 13 PJ. Kedai Chef Wendy ialah di Taman Bayu Perdana Klang. Dengan motor kapcai setiap pagi lepas subuh pergi kerja, balik pukul 4 tak singgah rumah, terus ke Klang untuk kejar kelas pukul 5 petang. Pertengahan kelas tu waktu Maghrib saya terpaksa merempit jauh sikit untuk cari surau. Masuk semula ke kelas saya terpaksa kacau nyonya dalam kelas tu, "Nyonya, tadi ada apa lagi sifu ajar ka?". Disebabkan sayalah satu-satunya 'boy' dalam kelas tu maka taklah susah sangat nak jadi anak murid kesayangan... Kelas tamat pukul 9 malam. Balik tu guna laluan motorsikal lebuhraya Kesas yang gelap dan sunyi tu. Kekadang tu bila lalu di satu kawasan tiba-tiba terasa meremang bulu roma. Ahhh.. tu cerita lain ok..

No comments:

Post a Comment