Thursday, November 7, 2013
Bunga Ros ke Bunga Kantan?
Semasa pertama kali menerima tempahan kek perkahwinan, perasaannya bercampur-campur. Seronoknya dapat tempahan. Takutnya ni kali pertama buat kek untuk orang lain ni.
Hari dulu tu boleh lah berani buat kek kawin untuk adik-beradik. Nak bunga buttercream?? Alamak!! Boleh buat ke ni?
Saya sendiri memasak kek. Bila dah sejuk, saya sendiri melapis kek tersebut dan saya sendiri membancuh 'buttercream'. Saya jugalah yang menyalutkan kek tersebut dengan buttercream.
Kini tiba giliran isteri untuk menyediakan hiasan bunga buttercream. "Abang bancuhkan warna biru ye, lepas tu saya buatkan bunga" Selepas siap bunga-bunganya isteri memberi arahan,"Ok dah siap bunga ni. Abang tolong pasangkan kat atas kek"
"Mmmm... Ni bunga ros ke bunga kantan? Tak nampak macam bunga ros pun...." Komen ikhlas dan jujur tu laju saja saya ungkapkan. Akibatnya merajuk 3 hari 3 malam... Silap lah kau komen macam tu kannn...
Friday, November 1, 2013
KUASAI WILAYAH
Semasa saya mula menjual roti yang dibuat sendiri, saya jual kepada jiran-jiran di apartment tempat saya menyewa di USJ16. Kemudian saya berpindah ke Bandar Tun Razak KL untuk berniaga di sana, sewa rumah teres tak jauh dengan rumah mertua. Saya jual di kejiranan rumah mertua di Flat Sri Kota. Lepas tu saya berniaga di tepi jalan stesen LRT dan pasar malam. Semuanya dalam kawasan Bandar Tun Razak saja.
Sasaran saya pada masa itu untuk menguasai pasaran di Bandar Tun Razak dulu. Kemudian luaskan lagi pasaran kepada kawasan Cheras dan sekarang impian saya ialah menguasai pasaran Lembah Kelang dengan cara membuka lebih banyak cawangan dan 'outlet'. Chef Farid nasihatkann saya supaya cari lokasi 'walk way' seperti dalam 'shopping mall' supaya lebih banyak jualan dapat dibuat dan kos untuk membukanya tak terlalu tinggi berbanding membuka cawangan di 'shoplot'. Ya saya berpengalaman membuka outlet sebegitu tapi di pasaraya Econsave. Mungkin masa tu saya tak pandai mengurus dan dan masih kekurangan pengalaman dan tentunya kurang pekerja juga, outlet tu terpaksa ditutup dan kerugian terpaksa diserap.
Menguasai wilayah sendiri amat penting kerana dari situ kita membina jenama dan kekuatan ekonomi untuk berkembang dengan lebih berani. Kat KL ni Cheras pun tak habis makan lagi takkanlah nak makan Johor Baru kot...
Tuesday, October 22, 2013
KOMITMEN
Kadangkala kita berada di keadaan serba salah untuk memilih komitmen mana yang kita nak dulukan. Nak jaga bisnes ke, nak duduk rumah jaga anak ke, nak ke seminar ke?
Duduk rumah jaga anak pun adalah komitmen juga. Kita pernah lepaskan komitmen lain semata-mata kerana untuk anak.
Duduk kedai ganti tempat pekerja yang asik ponteng pun komitmen juga. (kena fire la budak tu lepas tu)
Sekiranya kita terpaksa melepaskan satu komitmen untuk melaksanakan satu komitmen yang lain, adakah kita bisa di tuduh sebagai tidak komited?
Ya, kita tidak komited. Mengaku sajalah kita tidak dapat memberikan komitmen kerana kita beri keutamaan kepada komitmen yang lain dulu. Selesai.
Kita tak boleh kaut semua benda ke dalam gendongan kita. Yang kita gendong jangan sampai keciciran. Ok. Selain dari buku The E-Myth Revesited tu cuba-cubalah cari buku The 7 Habit Of Highly Effective People -Steven Corvey. Hadamkan tajuk 'Begin With End In Mind' dan tajuk 'First Thing First'. Peace yo..
Thursday, October 10, 2013
MULA-MULA
Bermula dengan menjual roti dari rumah ke rumah, saya menjual di tepi jalan depan stesen LRT. Pernah beberapa kali cuba berniaga di pasar malam, dan pernah juga ada gerai di Stesen LRT Asia Jaya di Petaling Jaya. Ingat lagi cerita Anney? Saya berniaga di sebelah situ lah. Entah macam mana saya buat sampai dapat satu gerai sewa dari RapidKL. Saya mendapat perhatian sebab masa tu tak ramai orang yang nak berniaga roti. Lepas berniaga roti, sikit-sikit tambah kemahiran buat kek pula. Sekarang ni punya ramai orang nak buat bisnes roti dan kek. Kalau pergi seminar usahawan, cuba jerit "Berapa ramai yang buat bisnes roti dan kek? angkat tangan.." Maka akan banyaklah tangan-tangan gebu yang melantun di udara...
Kedai saya yang pertama ialah di Flat Sri Sabah, saya beli bisnes tu dari 'sifu' yang menawarkan satu cawangan kedainya untuk saya uruskan. Namun kerana belum cukup kuat ilmu dan belum bersedia dan belum berani untuk buat 'full time' kedai tu tak berjaya. Wah.. Mahalnya yuran pengajian 'University of Life' ni. Dua semester je dah 'grad'. Nak sangat kan...
Kedai seterusnya ialah di Pusat Komersial Komuniti Bandar Tun Razak. Kedai inilah kedai pertama dinamakan The Baker's Place. Didaftarkan pada 21hb. Disember 2006 dan sekarang bakal dinaik taraf kepada The Baker's Place Sdn Bhd.
https://www.facebook.com/KedaiKekTheBakersPlace
Wednesday, October 9, 2013
SUDA ANAM TAWUN..
Tahun 2006 saya masih lagi bekerja sebagai IT Helpdesk di SS13 Petaling Jaya. Suatu hari semasa rehat tengahari (saya rehat 11pagi hingga 12tengahari) saya merayau hingga ke stesyen LRT Asia Jaya, tak jauh dari pejabat. Saya ternampak satu gerai berwarna oren dengan satu payung empat segi terpacak ditengahnya. Kedudukan gerai tu betul-betul di muka tangga stesyen LRT. Gerai menjual buah-buah yang dipotong, air, dan makanan ringan.
Saya beli sebungkus buah mangga. Umpan je untuk bersembang dengan si penjaja. Sembang punya sembang si penjaja kata gerai tu disewa dari RapidKL dengan deposit lima ribu ringgit dan sewa bulanan tujuh ratus ringgit.
"Saya suda anam tawun meniaga sini juga. Turun naik turun naik sama MPPJ, sama RapidKL, saya tada hirau terus meniaga. At last diorang ta bole tahan terus kasi saya sewa ini macam." ramah sungguh dia menceritakan pengalamannya; dengan bunga-bunga bahasa dan geleng kepala, tangan juga digerak-gerak.
Kesudahannya sebelum saya bergerak pergi 'anney' tu pula yang buat tawaran, "Abang taruk la itu roti jual sini....". Saya geleng kepala tanda setuju....
https://www.facebook.com/KedaiKekTheBakersPlace
MANA BOLEH BUAT SENDIRI...
Suatu hari pada bulan Jun 2006 di pinggir jalan, depan stesyen LRT Bandar Tun Razak.
Pelanggan, "Entah dari mana kilang dia ambik tu jual kat sini" sambil muncung tunjuk ke arah budak jual roti.
Penjual Jagung, "Tak lah. Dia kata dia buat sendiri tu", cuba untuk pertahankan budak roti.
Pelanggan, "Mana boleh buat sendiri ni. Mesti kilang punya ni.."
Begitulah yang diceritakan semula oleh akak Penjual Jagung.
Saya jawab,"Takpe lah kak kalau orang dah tak percaya nak buat camana".
Pada tahun tersebut kita masih jauh jauh jauh jauh ketinggalan lagi... Masih lagi merangkak-rangkak dan belajar. Keyakinan orang ramai terhadap kebolehan kita juga adakalanya sangat mendukacitakan. Nah disinilah PELUANG..!!
NAK IBU
Sebulan lepas pindah rumah iaitu pada 7hb. Jun 2005, saya balik dari kerja cepat-cepat balik kerumah. Isteri dan anak-anak dah bersiap. Jam 6 petang bergerak menuju Shah Alam; menghantar isteri ke Hotel DePalma untuk menghadiri kursus Pengurusan Kewangan anjuran MARA Selangor selama 4 hari 4 malam.
Anak yang kecil umur 4 tahun pada mulanya seronok je nampaknya, tapi lepas selesai ibunya check-in hotel dan saya bawa dia masuk saja ke dalam kereta mula lah dia merengek "nak ibu.. nak ibu.. huuuuuuu...." Si kakaknya cuba mententeramkan adiknya. "Jom kita pergi rumah Opah" saya mula mengumpan. "Yeay..!!" jerit si kecil. Selang beberapa saat kemudian dia buat lagi "nak ibu.. nak ibu.. huuuuuuu....". Adoi... cepatnya dia 'switch'...
Saya,"Kita pergi rumah Mak Lang dulu lah ye"
Kakak,"Kata nak pergi rumah Opah"
Adik,"nak ibuuuuu...."
Saya,"yelah gi rumah Mak Lang dulu pastu kita turun la gi rumah Opah"
(Rumah Mak Lang nya tingkat 12, opahnya tingkat 8 )
Sampai di Rumah Pangsa Sri Kota, semasa dalam lif kakak nya pulak tiba-tiba basah mata..
Saya,"kenapa kakak?"
Kakak,"Nak ibuuuuu... huhuuuu"
Adik,"Nak ibuuuuu...."
Aduss.....
PINDAH RUMAH KERANA ROTI
Selepas kisah 'hari pertama' menjual roti dari rumah ke rumah tu, saya ajak isteri untuk berpindah ke Bandar Tun Razak KL. Dekat dengan rumah mak abahnya. Lagipun 'target market' dah nampak dah di situ. Rumah yang kami sewa di Pangsapuri Sri Tanjung USJ 16 dah tak sesuai dengan rancangan kami untuk berniaga.
Saya usahakan mencari rumah sewa dan dapatlah satu rumah teres di Bandar Tun Razak. Rumahnya taklah besar sangat, ada dua bilik, ruang tamu yang luas, dengan pintu 'sliding'. Senanglah nanti nak bawa masuk barang besar-besar. Pada hari Ahad 29hb Mei 2005 kami berpindah rumah disebabkan kerana ROTI.
MURID KESAYANGAN NYONYA
Selepas kelas roti dengan Chef Liza pada 11hb Mac 2005 tu saya memang bersemangat sungguh-sungguh; makan roti, tidur roti, cakap roti segalanya roti. Saya memang bertekad nak buat dan jual roti, tetapi saya merasakan saya perlu terus cari ilmu lagi. Sambil kumpul duit selama lebih sebulan untuk beli mesin mixer, sambil buat koleksi buku resepi roti.
Pada suatu hari saya terjumpa buku pastry tulisan Chef Wendy Khor. Saya belek-belek buku tu ada pula nombor telefon kedainya. Saya telefon tanya alamat dan cari kedainya di Klang. Chef Wendy Khor ada sebuah kedai bahan bakeri dan memang dia juga ada mengajar buat roti, kek dan pastri. Kelas pertama saya dengan Chef Wendy ialah pada 22hb Mac 2005. Kelasnya 4 jam sahaja tetapi padat dengan kaedah dan tips penting mengenai roti.
Pelajarnya kebanyakan nyonya dan amoi-amoi Klang. Ada juga seorang dua orang makcik datang belajar. Saya jugalah 'lelaki Melayu terakhir' dalam kelas... Seminggu kemudian saya ambil lagi kelas dengan Chef Wendy. Setakat ni dah 7 kelas roti saya belajar dengannya.
Masa tu saya masih menyewa rumah di Pangsapuri Sri Tanjung USJ 16, dan bekerja di SS 13 PJ. Kedai Chef Wendy ialah di Taman Bayu Perdana Klang. Dengan motor kapcai setiap pagi lepas subuh pergi kerja, balik pukul 4 tak singgah rumah, terus ke Klang untuk kejar kelas pukul 5 petang.
Pertengahan kelas tu waktu Maghrib saya terpaksa merempit jauh sikit untuk cari surau. Masuk semula ke kelas saya terpaksa kacau nyonya dalam kelas tu, "Nyonya, tadi ada apa lagi sifu ajar ka?". Disebabkan sayalah satu-satunya 'boy' dalam kelas tu maka taklah susah sangat nak jadi anak murid kesayangan...
Kelas tamat pukul 9 malam. Balik tu guna laluan motorsikal lebuhraya Kesas yang gelap dan sunyi tu. Kekadang tu bila lalu di satu kawasan tiba-tiba terasa meremang bulu roma. Ahhh.. tu cerita lain ok..
ROTI CANAI
Masih lagi cerita roti, tapi kali ni lain sikit iaitu Roti Canai.
Dulu masa di Korea tahun 1996, saya pernah buat roti canai. Tengah boring-boring takde apa nak buat. Semua 'housemate' tak ada di rumah. Timbul pulak idea nak buat roti canai. Entah macammana boleh dapat resepi. Zaman tu mana ada internet macam sekarang ni. Nak search kat mana? Hah hentam saja lah... Asal ada tepung gandum, telur, susu, margerin dengan minyak masak. Bikin punya bikin bancuh uli entah berapa sukatan bahan main hentam jadi pulak.... Sementara memerap 'doh' saya masak kari ayam.
Dah cukup masa dah lapar ni nak mencanai pulak. Alas meja dengan plastik.. Hah, atas meja tu jugak mencanai, baik punya tebar.... Goreng garing-garing. Perghhh.. sedap..
Selebihnya saya goreng separuh masak dan lapis-lapiskan dengan plastik kemudian simpan dalam peti sejuk; jadi roti canai segera.
Tengah sedap makan tiba-tiba si Pie balik,
Pie: "wow.!! roti canai!! mana kau dapat?"
Saya: "Aku buat sendirilah"
Pie: "Jangan nak tipu akulah, entah 'stewardess' mana bagi kat kau. Siapa bagi?"
Saya: "Laaa.. betul aku buat tadi..."
Pie: "Tipuuu..." (sambil sedia menggoreng roti canai)
Saya: "Pie...Pie..."
..Kenangan terindah bersama Haji Shafie :)
Tuesday, October 8, 2013
JUAL ROTI DI PASAR MALAM
Teringat lagi pengalaman menjual roti di pasar malam. Sabtu 10 Disember 2005 itulah 'Malam Pertama' saya berniaga di pasar malam Bandar Tun Razak KL. Saya dibantu oleh isteri yang setia menyediakan roti untuk dijual. Anak-anak membantu dengan cara 'duduk diam-diam tengok je ayah buat kerja'. Meja dan payung dah sedia. Dalam rumah juga saya 'test' dulu pasang payung dan meja.
BIAR KECIL ASALKAN BERHASIL - Berniaga tanpa modal?
BIAR KECIL ASALKAN BERHASIL -Berniaga tanpa modal?
Ramai yang berkata begini "saya minat berniaga" "saya nak jadi usahawan" tapi masih tak ada idea apa yang nak diusahakan.
Kemudian dia bertanya begini "macammana nak start berniaga ha?" "kau rasa berniaga apa bagus? Kalau boleh yang tak payah pakai modal lah" Ini macam punya soalan sepatutnya ditanyakan kepada diri sendiri saja dan jawab ler sendiri. Sebabnya kalau orang lain tolong jawabkan nanti dia akan betah pula begini "boleh ke berniaga tu?" "ehh.. aku tak minat lah masak-masak ni..." "aku rasa aku tak sesuai lah buat tu" "Boleh ke?"
Abis yang kau tanya aku tu apasal..??
Tidak ada perniagaan yang dapat dimulakan tanpa modal. Setiap perniagaan mesti memerlukan modal. Ada modal kecil dan ada modal besar. Apabila sebut sahaja modal semua kita hanya nampak WANG. Kannn..??
Modal perniagaan terbahagi kepada dua, iaitu Modal Ketara dan Modal Tidak Ketara.(contoh modal ketara: Wang, dapur, oven, periuk, kuali, mesin jahit, cangkul, gergaji, tukul dll. Contoh modal tak ketara: Ilmu, kesihatan, personaliti, kemahiran, hubungan kawan, kesabaran dll.)
Masalahnya, bagi seorang yang tidak mempunyai 'Mata Usahawan', modal ketara yang ia miliki pun gagal dilihat. Walhal, sudah bertahun-tahun modal tersebut tersimpan di dalam rumahnya.
'Pilihlah perniagaan yang tidak memerlukan modal permulaan yang tinggi.'
'Elakkan berhutang untuk memulakan perniagaan' Selagi boleh lah... Nasihat inilah yang jadi persamaan antara Chef Li dan DrAzizan Osman. Saya pun suka nasihat ni.
AKU DAN ROTI
Saya mula makan roti setiap hari ialah sejak mula menjejak kaki ke Korea pada 1992.
Disebabkan sukar mendapatkan makanan halal maka roti lah makanan pengalas perut semasa di kolej mahupun di university.
Itupun cuma 2 atau 3 jenis roti sahaja yang diyakini boleh dimakan kerana bahan minyaknya daripada lemak sayuran. Kebanyakan roti yang nampak sedap-sedap tu ada shortening; lemak sayuran ke lemak haiwan ke tidak dinyatakan.
Minat untuk membuat roti bermula selepas seorang kawan memberitahu yang isterinya telah menghadiri kursus membuat roti dengan Chef Liza. Siap buat roti dan bagi saya sekeluarga mencuba rasanya. Sebelum itu kawan tersebut telah memperkenalkan buku Menjejaki Jutawan Senyap tulisan Chef Li (Chef Hj.Rusly). Sebabkan geram dengan mamat ni 56 kali sembang cerita pasal buku Jutawan Senyap ni, serta-merta saya mengajaknya pergi cari buku ni. Geram punya pasal, kalau aku tak jadi jutawan baca buku ni siap lah kau!! Itulah permulaannya bagaimana semangat keusahawanan saya dibakar. Selepas membaca buku itu saya mencari-cari apa yang saya boleh buat dan jual untuk dijadikan duit.
Macam-macam idea timbul. Nak buat karipap frozen lah, nak buat aiskrim lah; akhirnya saya kembali kepada ROTI. Pikir punya pikir saya hubungi kawan saya tu bertanyakan kelas roti Chef Liza. Kebetulan hujung minggu tu ada pulak kelas roti. Seronok sungguh buat roti ni. Perasaan puas yang tak terkata dirasai bila tengok roti-roti tersusun di atas meja. Inilah bisnes yang aku nak buat nanti, kata hati saya. Selesai kelas roti saya pun balik rumah terus ajak isteri pergi cari oven. Duit takde guna dulu kad kredit. Takpe kita ni beli benda yang boleh buat duit, jadi duit nanti bayar ler utang... dan saya terus mencuba buat roti. Chef Liza tu ajar gunakan mesin uli tepung; yang saya ni main hentam je uli guna tangan. Nah seminggu sakit urat seluruh tangan, roti pulak tak kembang macam yang di ajar. Tangan sakit hati pun sakit. Tak boleh jadik. Tunggu gaji 2 bulan (sebulan je sebenarnya tapi di advance dari sumber lain hehe..) baru saya dapat beli satu mesin uli buatan China berharga RM1400. Cuba lagi buat roti, kali ni uli guna mesin. Gembiranya hati Allah saja yang tahu. Roti menjadi, sedap, lembut dan yang paling penting BOLEH CUBA JUAL.
Monday, October 7, 2013
HARI PERTAMA
Sabtu (16 April 2005) adalah merupakan hari bersejarah dalam hidup saya, hari pertama menjual roti secara 'door to door'.
Produksi roti bermula seawal jam 7 pagi sesudah subuh, selesainya petang lepas Asar. Ambil masa juga nak buat roti ni, maklumlah mass production lah katakan. Jam 6 petang saya memulakan langkah pertama di rumah saya di Pangsapuri Sri Tanjung USJ16.
Berbekalkan troley pasar yang dipenuhi roti yang saya hasilkan, gantung juga roti pada troley tu macam bai roti gantung kat tong roti tu. Paling ngam sekali saya gunakan juga 'hon' yang juga macam bai roti punya.. pet pot pet bunyinya, baru ada sound effect kan..
Saya naik lif ke tingkat 10 dan bermulalah jualan tanpa sebarang pembelian dari mana-mana pihak. Sampailah ke tingkat satu... Sokongan pertama datang dari jiran depan rumah.... hahaha. Teruskan juga, saya parking troley kat depan lif di ground floor. Dapatlah jual 20 biji roti sampai magrib. Tak boleh jadi.. Roti penuh lagi dalam troley. Pakat dengan isteri, jom pi KL. Maka lepas magrib tu teruslah ke rumah mertua di Flat Sri Kota Bandar Tun Razak. Saya terus ke tingkat 16 dan mulakan horn pot pet pot pet. Tak sempat sampai dua rumah, dah ada pelanggan. Fuhh semangat tu... Rancaknya berjualan cuma ambil masa satu jam selesai Blok-98 tu roti dalam troley tinggal kurang dari 10 biji saja...
Alhamdulillah. Saya berjaya melepasi ujian hari pertama. Ujian anjakan paradigma, ujian buang rasa malu dan ego, lupakan soal status dan mesti mulut manis maaa... Begitulah hari pertamaku menjaja roti.
Saya punya nama pun suda tukarr laa... ROTI..!! ROTI..!!
Membakar Inspirasi
Catatan pertama saya di blog adalah pada 13 April 2005.
Blog beralamat www.bakersplace.blogspot.com mula menjadi diari perjalanan saya sebagai Baker separuh masa.
Masa tu saya masih bekerja di sebuah syarikat IT di seksyen 13 Petaling Jaya.
Umur saya pada masa tu ialah 33 tahun.
Kerjanya senang saja, 'Helpdesk'. Kerja jawab telefon, tapi dalam Bahasa Korea.
Bahasa Korea tu sajalah kelebihan saya. Nak harapkan kemahiran IT, saya ni kira 'rabun IT'. Rabun je bukan 'Buta IT'.
Masa tu kerja seronok sangat, kerja goyang kaki. Ada call masuk, adalah kerja. Tak ada call masuk, saya pula masuk blog.
Sememangnya kami puak 'Helpdesk' ni dibebaskan layan internet, blog, video segala. Asalkan kau jawab call layan client bagus, kau tak ada masalah.
Blog bakersplace.blogspot.com tu saya buat lepas asyik dok layan blogger-blogger lain.
Seronok juga baca tulisan-tulisan blogger ni.
Ada yang tulis pengalaman hidupnya, kisah rumahtangga (cerita cerai berai gaduh laki bini pun nak cerita beb..), cerita percintaan bahagia dan derita, kisah perjalanan ke luar negara, kisah tempat kerja, kisah mengumpat orang pun ada. Paling saya ikut ialah tulisan-tulisan berinspirasi dan bernasihat. Pendek kata semua cerita pun saya layan. Bosan tu duduk hadap PC 8 jam sehari. Jawab call kadang tu 15 call je. Rasa dah tak mencabar dah kerja tu.
Pada masa tu saya paling suka layan geng penulis yang memang nak berkarya. Salah satu kumpulan blogger yang saya layan ialah Geng Jurnal.
Ada kalangan mereka ni dah jadi penulis terkenal. Salah seorang nya ialah Pak Latip Talib, penulis novel sejarah Islam nombor satu di Malaysia sekarang ni. Alamatnya www.latiptalib.blogspot.com
. Karya saya? Dengan 'passion' yang ada, saya berkarya melalui roti :) Boleh?
Subscribe to:
Posts (Atom)